Sketsa - Babi kena SERTU ?
PENGENALAN
Sketsa ini cuba mengambarkan bahawa Islam adalah agama yang berbeza dengan agama Yahudi atau Kristian yang memaksa pengikut-pengikut bertaqlid buta kepada paderi-paderi mereka. Islam adalah satu-satunya Din yang melarang orang Islam menyembah ulama-ulama atau wali-wali.
Islam adalah satu-satunya Din yang mendorong penganutnya untuk memantapkan suatu ‘budaya bertanya’ iaitu “fas’alu ahl al-dhikr in kuntum la ta’lamuun”. Adab bertanya mewajibkan kita bertanya mengenai dalil naqli untuk sesuatu hukum agama dan bukannya perkara-perkara rumit seperti perihal Ruh. Budaya bertanya dalam Islam kini dipinggirkan oleh budaya bertaqlid. Akibatnya, umat Islam kini hidup untuk ‘mengikut’, bukan hidup untuk berfikir. Revolusi Sains hanya akan berjaya apabila umat Islam bangun dari semangat ‘kelembuan’ kepada semangat keilmuan.
Sketsa ini juga membayangkan bahawa ada sesetengah masalah agama yang boleh ditanya oleh ‘orang biasa’ yang tidak tahu langsung nahu bahasa Arab atau tidak mempunyai ilmu usul al-fiqh yang mendalam. Persoalan di sini ialah mampukah ‘orang biasa’ berhujah dengan seorang ‘Tuan Haji’ yang banyak ilmu agama serta tahu bahasa Arab? Kalau tidak mampu, apakah ini bermakna wajib orang biasa bertaqlid buta dengan Tuan Haji? Penulis sketsa ini berpendapat bahawa orang biasa juga boleh berfikir, dan tidak digalakkan bertaqlid buta. Tidak semestinya orang yang tahu bahasa Arab dan berijazah agama lebih pandai dari orang biasa. Mereka akan TERBUKTI lebih pandai apabila mereka dicabar oleh pertanyaan orang biasa! Kalau tiada cabaran, semua yang bersijil boleh mengaku jadi ulama selagi sijil tu tidak hilang!
SKETSA: ADAKAH SENTUH BABI KENA SERTU (SAMAK)?
Orang Biasa : Saya tersentuh khinzir. Apakah hukum agama?
Tuan Haji : Khinzir adalah termasuk dalam kategori najis mughallazah iaitu najis yang berat. Maka apabila kita menyentuh atau tersentuh khinzir, maka wajiblah kita sertu sekali dengan tanah dan enam kali dengan air.
Orang Biasa : Tuan Haji yang dihormati, apakah ayat al-Quran atau Hadis yang Tuan Haji pakai untuk sampai pada hukum ini?
Tuan Haji : Hukum sertu ini adalah berlandaskan ayat al-Qur’an ini:
“Katakanlah: Tidak ku jumpai di dalam wahyu yang disampaikan kepadaku makanan yang diharamkan untuk memakannya kecuali bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana ia adalah najis.”
Orang Biasa : Apakah Surah dan Ayatnya?
Tuan Haji : Surah al-An’am, ayat 145. Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa babi adalah haram kerana ia adalah najis. Maka apabila kita tersentuhnya, kita perlu sertu.
Orang Biasa : Tuan Haji yang dihormati, saya ni tak berilmu setinggi Tuan Haji tapi ayat ni langsung tidak menyebut tentang hukum sertu? Bagaimana pula Tuan Haji boleh kaitkan ayat ni dengan hukum sertu?
Tuan Haji : Ayat ini menerangkan bahawa babi adalah NAJIS.
Orang Biasa : Tuan Haji yang dihormati, adakah bangkai itu najis juga? Adakah arak itu najis? Adakah tahi manusia najis?
Tuan Haji : Ya, sudah tentu.
Orang Biasa : Adakah kita perlu juga disertu apabila kita tersentuh najis-najis ini?
Tuan Haji : Tak perlu.
Orang Biasa : Mengapa pula sentuh babi sahaja yang perlu disertu?
Tuan Haji : Kerana …. Kerana …. Babi adalah najis MUGHALLAZAH!
Orang Biasa : Tuan Haji, mungkin mata saya silap. Bukankah ayat 145 Surah al-An’am tidak langsung sebut bahawa babi adalah najis MUGHALLAZAH? Ia hanya menyebut bahawa babi adalah najis sahaja seperti bangkai dan darah mengalir. Apakah ayat al-Quran atau hadis yang menyebut secara terang-terang bahawa babi bukan sekadar najis biasa tapi najis MUGHALLAZAH?
Tuan Haji : Memang benar ayat al-Quran tu tak sebut tentang najis mughallazah. Tetapi babi adalah najis mughallazah kerana ia adalah najis ‘berat’.
Orang Biasa : Apakah ayat al-Quran atau hadis yang menentukan ‘keberatan’ najis babi sehingga kita perlu disertu apabila menyentuhnya?
Tuan Haji : Ada hadisnya laaah!
Orang Biasa : Mana?
Tuan Haji : Kamu orang biasa manalah faham. Kamu ni terlalu banyak bertanya perkara yang rumit. Banyak bertanya tanda sikap orang Yahudi. Kalau agama suruh sertu, sertulah. Mengapa tanya lagi?
Orang Biasa : Kalau ikut buta tuli saja apa yang ulama kata, itupun sikap orang Yahudi jugak! Akhirnya, ulamak mereka buat shariat sendiri sebab pengikut-pengikut ikut macam lembu. Kalau agama benar-benar suruh sertu apabila sentuh babi, apakah ayat al-Quran atau hadisnya?
Tuan Haji : Kalau saya bagi pun, susah kamu nak faham tanpa ilmu bahasa Arab, ilmu usul al-fiqh, ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu asbab al-nuzul dan lain-lain.
Orang Biasa : Tuan Haji punya ilmu semua sudah lengkap, mestilah Tuan Haji ingat mana satu ayat al-Quran atau hadis yang berkenaankan!!! Takkanlah Tuan Haji lupakan!
Tuan Haji : Taaaak. Sabda Rasulullah saw, “Mensucikan bejanamu yang dijilat oleh anjing, ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mulanya dengan tanah”. Saya masih ingat juga bahawa hadis ini adalah riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi! Ini hadis sangat sahih. Ulama-ulama semua terimanya.
Orang Biasa : Tuan Haji seorang alim yang hafal banyak ayat al-Quran dan hadis nabi. Saya amat beruntung dapat belajar dengan Tuan Haji yang punya ilmu yang begitu luas di dada. Tetapi saya ada keliru sikit disini, boleh saya tanya?
Tuan Haji : Boleh, sudah tentu. Saya sedia menjawab.
Orang Biasa : Hadis ni nampaknya tak sebut pun pasal babi! Ia hanya sebut pasal anjing sahaja. Mungkin saya salah dengar.
Tuan Haji : Kamu tak salah dengar. Saya amat teliti meriwayatkan hadis nabi saw. Ya benar, hadis ni tak sebut pasal babi langsung, tapi ulama QIYAS kan babi dengan anjing.
Orang Biasa : Boleh tolong jelaskan apa makna ‘qiyas’?
Tuan Haji : Itulah kan saya dah kata, kalau tak tinggi ilmu fekah, tak boleh tanya banyak. Banyak istilah-istilah dalam fekah. Saya takut kamu akan keliru nanti.
Orang Biasa : Saya nak tuntut ilmu lebih sikit dari Tuan Haji. Itulah sebab saya bertanya.
Tuan Haji : Kamu tak mampu nak faham makna qiyas!
Orang Biasa : Tuan Haji TAK MAMPU fahamkan sayakah? Atau Tuan Haji anggap saya terlalu bodoh, tak layak untuk belajar lebih sikit? Kalau gitu, saya nak tanya ustaz lain leh yang lebih MAMPU mengajar saya yang bodoh ini!
Tuan Haji : Bukan begitu maksud saya. Menqiyaskan babi dengan anjing ertinya menyamakan babi dengan anjing.
Orang Biasa : Macam mana babi dan anjing tu boleh disamakan?
Tuan Haji : Itulah kamu takkan faham!!!
Orang Biasa : Janganlah Tuan Haji menghina kebodohan saya lagi. Saya rasa Tuan Haji sengaja mempermainkan hukum agama dengan lari dari mengemukakan ayat al-Quran atau hadis! Sekarang Tuan Haji cuba memperbodohkan saya dengan menyamakan anjing dengan babi!!! Mana ayat al-Quran atau hadis yang kata begitu!
Tuan Haji : Saudara jangan marah. Babi haram dimakan, bukan?
Orang Biasa : Ya
Tuan Haji : Anjing pun haram dimakan, bukan?
Orang Biasa : Ya.
Tuan Haji : Jadi, babi dan anjing adalah sama kerana kedua-dua haram dimakan!
Orang Biasa : (Berfikir sejenak) ……….. tapi …. Tapi
Tuan Haji : Tapi apa lagi?
Orang Biasa : Tuan Haji pun haram dimakan bukan?
Tuan Haji : Ya.
Orang Biasa : Jadi, Tuan Haji sendiri, babi, anjing, arak dan binatang-binatang yang haram dimakan seperti ular dan kucing adalah SAMA lah????
Tuan Haji : ….. (Membisu)
Orang Biasa : Adakah ayat al-Quran atau hadis yang mengatakan secara terang-terang bahawa anjing dan babi adalah sama kerana kedua-duanya haram dimakan?
Tuan Haji : …. (Membisu dan geleng kepala)
Orang Biasa : Jadi, TIDAK ADA AYAT AL-QURAN ATAU HADIS YANG MENGATAKAN SECARA TERANGNYA BAHAWA SENTUH BABI KENA DISERTU?
Tuan Haji : … (Membisu dan geleng kepala).
Orang Biasa : Jadi tak perlulah saya sertu kalau saya tersentuh babi sebab hanya Allah swt dan Rasul saw sahaja yang berhak menentukan hukum wajib atau tidak!
Tuan Haji : … Kamu tak faham. Hukum ini adalah berlandaskan qiyas.
Orang Biasa : Siapa yang buat qiyas tu? Tuan Haji atau Allah swt atau Rasul saw?
Tuan Haji : Ia berlandaskan ijtihad Mazhab Imam al-Shafie!
Orang Biasa : Ijtihad seorang manusia macam al-Shafie mungkin salah atau lemah bukan begitu?
Tuan Haji : Siapalah kita untuk mempersoalkan sama ada ijtihad Imam Besar ini lemah atau tidak? Dia mempunyai ilmu yang sangat tinggi.
Orang Biasa : Umar al-Khattab punya ilmu jauh lebih tinggi. Suatu hari, Umar berijtihad untuk menetapkan mas kahwin wanita. Seorang wanita biasa tidak setuju dengan ijtihad Umar lalu menyoal Umar sehingga Umar akhirnya setuju bahawa IJTIHAD UMAR DALAM SOAL INI ADALAH SALAH! Kalau Umar yang dijanjikan syurga boleh salah, apatah lagi Imam al-Shafie yang tak pernah jumpa Rasulullah saw!!! Ini bermakna bahawa kalau Imam al-Shafie masih hidup sekarang, dia akan membenarkan fatwanya disoal, dan mungkin dia akan memperbetulkannya juga!
Tuan Haji : Berani kamu orang biasa kata begitu. Siapalah kita nak cabar Imam al-Shafie!
Orang Biasa : Jadi Tuan Haji pun ikut buta tulilah semua kata-kata Imam al-Shafie???
Tuan Haji : Ya, sudah tentu.
Orang Biasa : Bagaimana orang ‘buta’ seperti Tuan Haji mampu membantu seorang ‘buta’ lain seperti saya untuk berjalan betul mengikut shariat. Ilmu Tuan Haji tak cukup tinggi, tak layak untuk mengajar agama! Agama menyuruh kita bertanya orang yang berilmu, bukan orang yang jahil taqlid buta. Apakah ayat al-Quran dan Hadis yang sebut kita wajib ikut macam lembu segala apa yang dikatakan oleh satu mazhab? Apakah ayat atau Hadis yang membolehkan kita taqlid buta dengan seorang ustaz yang juga ikut kata orang macam lembu?
Tuan Haji : Kamu ni biadap laaah. Menghina ulama.
Orang Biasa : Tuan Haji ni macam mana boleh mengaku jadi ulama sedangkan bertaqlid buta?
Tuan Haji : Jadi, kamu ni bebas bermazhablah!?
Orang Biasa : Saya tidak bebas bermazhab, tetapi tidak bertaqlid buta dengan satu mazhab seolah-olah Imam mazhab tu ma’sum! Saya amat menghormati Imam al-Shafie sebagai ulama yang besar tetapi saya tidak anggap tarafnya sama seperti orang Shiah anggap taraf Ali. Saya tidak mahu jadi shiah Imam al-Shafie! Tuan Haji ni dah jadi Shiah kepada Imam al-Shafie kah? Bukankan orang Shiah kepada Ali menganggap semua kata-kata Imam Ali tu tak boleh dipersoalkan sebagaimana Tuan Haji anggap kata-kata Imam al-Shafie???
Tuan Haji : Kamu berdosa kata begitu.
Orang Biasa : Siapakah yang berhak menentukan sama ada sesuatu perbuatan berdosa atau tidak?
Tuan Haji : Allah swt.
Orang Biasa : Allah swt SAHAJA?
Tuan Haji : Ya, Allah swt SAHAJA!
Orang Biasa : Adakah saya BERDOSA kalau saya tersentuh atau menyentuh babi, kemudian saya TIDAK menyertu tangan saya?
Tuan Haji : BERDOSA.
Orang Biasa : Berani Tuan Haji kata begitu tanpa ayat al-Quran dan Hadis yang menyokongnya!
Tuan Haji : Mazhab al-Shafie yang kata begitu!
Orang Biasa : Bukankah Tuan Haji yang kata tadi Allah swt SAHAJA, bukan Imam Ali atau Imam al-Shafie, yang menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu berdosa atau tidak?
Tuan Haji : ……… (Membisu)
Orang Biasa : Majoriti Mazhab dan Ulama mengatakan bahawa sentuh babi tak perlu disertu! Adakah mereka ini semuanya berdosa sebab tidak ikut kata Imam al-Shafie?
Tuan Haji : Kita orang Melayu sejak turun-temurun mengikut Mazhab Imam al-Shafie. Inilah Mazhab yang paling halus sekali!
Orang Biasa : Shiah Hanbali mahupun yang lain-lainnya juga mendakwa mazhab mereka yang paling halus! Tuan Haji sudah jadi orang Shiah tanpa Tuan Haji sendiri sedari! Maka sedarlah sekarang!